Teruja nak sambut cucu - Utusan Malaysia

Teruja nak sambut cucu

ROHANI Kassim membuat panggilan video bagi melepaskan kerinduan terhadap anak lelakinya yang lebih setahun tidak bertemu di Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerinduan yang menebal seorang pengusaha kedai makan, Rohani Kassim terhadap anak lelakinya setelah lebih setahun tidak bersua muka bakal terubat apabila anaknya akan pulang ke kampung halaman, Sabtu ini.

Menurut Rohani, 59, dia tidak sabar menanti kepulangan anaknya, Mohd. Yazid Yaakob, 36, ke kampung halaman di Kampung Sri Gunung Pulai, di sini apatah lagi akan membawa bersama cucu yang baru lahir.

Katanya, anak keenam daripada 12 beradik adalah satu-satunya anaknya yang bekerja di luar Johor berbanding anak-anak yang lain.

“Walaupun sudah lama tidak bersua muka, adakalanya anak mak cik membuat panggilan video bertanyakan khabar. Sedikit sebanyak terubat kerinduan terhadapnya yang berada di perantauan.

“Setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini, anak terus menghubungi mak cik memberitahu akan pulang Sabtu ini.

“Itulah berita paling gembira mak cik terima dalam masa terdekat ini. Sudah tentunya kepulangan mereka sekeluarga amat dinantikan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rohani berkata, dia pastinya tidak sabar untuk melihat secara dekat cucunya yang baru dilahirkan apabila anaknya pulang dari Durian Tunggal, Melaka pada minggu ini.

Katanya, dia berhasrat untuk menyediakan menu asam pedas ikan mayong yang menjadi lauk kegemaran anak lelakinya yang bekerja sebagai guru sekolah.

Tambahnya, selain menu tersebut, anaknya juga menyukai rempeyek dan kerepek pisang tanduk hasil air tangannya.

“Mak cik tidak tahan sebak ketika anak menyampaikan berita gembira itu. Mana tidaknya, sudah dua kali raya Aidilfitri dia tidak pulang ke rumah.

“Lebih melegakan hati mak cik apabila kami sekeluarga semua sudah divaksin. Jadi, tidak timbul kerisauan apabila menyambut kepulangan mereka nanti,” ujarnya.

Habis

Caption

ROHANI Kassim membuat panggilan video bagi melepaskan kerinduan terhadap anak lelakinya yang lebih setahun tidak bertemu di Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN