Tempoh mengundi PRN Melaka boleh lebih sehari - Utusan Malaysia

Tempoh mengundi PRN Melaka boleh lebih sehari

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dilanjutkan lebih daripada satu hari dan ia tidak menyalahi undang-undang di bawah kuasa prerogatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia sejajar dengan Paturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk menetapkan tempoh masa dan tarikh mengundi dalam pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dalam konteks PRN Melaka, langkah terbaik ialah memanjangkan tempoh pengundian sehingga tiga hari dengan membahagikan kehadiran pengundi berdasarkan senarai nama yang ditetapkan mengikut saluran di pusat mengundi.

“Langkah itu berdasarkan tujuan supaya pengurusan proses pilihan raya, penjarakan sosial, mengurangkan kesesakan dan agar penguatkuasaan aspek pematuhan SOP Covid-19 dapat dilaksanakan secara lebih terkawal dan memberikan keselesaan kepada pengundi.

“Dengan cara ini, kesesakan dapat dikurangkan dan kehadiran pengundi terkawal,” katanya di sini semalam.

SPR kelmarin memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Melaka Isnin ini sekali gus memberi bayangan rakyat negeri itu akan mengundi sekali lagi bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, persediaan SPR tersebut sebagai langkah ke arah pelaksanaan PRN itu, melainkan kerajaan mengisytiharkan darurat yang menuntut penangguhan pelaksanaannya.

Perbincangan SPR menerusi mesyuarat tersebut akan melibatkan perkara-perkara seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan yang turut dipercayai menetapkan garis panduan dan SOP pelaksanaan pilihan raya berikutan pandemik.

PRN Melaka hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal Ke-14 pada 4 Oktober lalu berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, jika tempoh pengundian dilanjutkan kepada lebih dari satu hari, apa yang penting ialah SPR perlu menguruskan penyimpanan peti-peti undi yang mengandungi kertas undi (hari pertama) dalam simpanan yang terjamin selamat di bawah kawalan jagaan SPR dan pihak polis sehingga pengiraan undi dibuat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN