SHAH ALAM: Bandar raya Shah Alam dipilih sebagai bandar perintis melaksanakan Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara (CAP SEA).
Pemilihan itu dibuat oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC).
Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bandar raya itu telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti kesediaan kelompok sasaran, perniagaan, industri dan komitmen kerajaan.
“Sehubungan itu, sempena ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21, MBSA dengan kerjasama MGTC dan sebuah agensi di bawah kerajaan Jerman, Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) mengadakan Webinar Pengurangan Penggunaan Plastik Sekali Guna Bersama Pihak Berkepentingan di Shah Alam melalui Projek CAPSEA semalam.
“Webinar ini bertujuan memberikan pendedahan secara menyeluruh terhadap penggunaan plastik sekali guna,” katanya.
Tambahnya, webinar itu juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepada orang ramai khususnya komuniti setempat mengenai kesan negatif disebabkan penggunaan plastik yang berlebihan secara berterusan kepada alam sekitar.
“Pelaksanaan webinar ini merupakan platform yang disediakan oleh pihak MBSA dengan menyediakan ruang dan peluang kepada pemegang taruh sektor ekonomi, komuniti, serta agensi kerajaan dan swasta untuk berkongsi pendapat dan mencari kaedah penyelesaian bagi mengurangkan kesan penggunaan plastik dalam jangka masa panjang,” jelasnya..
Webinar ini menampilkan pembentang dari dalam dan luar negara iaitu Mr. Christoffer Brick dari Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) membentangkan tajuk ‘Collaborative Action For Single Use Plastic Prevention in South Asia’ (CAPSEA).
Selain itu Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Mohd Azmi Amer Khan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Halatuju Sisa di Shah Alam’. -UTUSAN ONLINE










