Sektor pelancongan perlu suntikan dana baharu - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan perlu suntikan dana baharu

KEJAYAAN gelembung pelancongan Langkawi memberi harapan kepada pengusaha pelancongan untuk bangkit kembali selepas berbulan-bulan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pelancongan memerlukan suntikan dana baharu sebelum semua rakyat Malaysia dibenarkan melancong dalam dan luar negara yang dijangka Disember ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, suntikan itu adalah bagi membantu pengusaha pelancongan memulakan semula perniagaan mereka setelah berbulan-bulan terjejas akibat Covid-19.

Katanya, suntikan itu boleh diumumkan dalam Belanjawan 2022 pada 29 Oktober ini.

“Kami berharap ada insentif seperti pinjaman kadar faedah yang rendah serta membangunkan semula infrastruktur pelancongan. Kami perlukan modal untuk berniaga semula.

“Barulah para pengusaha pelancongan boleh mengambil pekerja semula, membuat pelbagai promosi dan sebagainya. Sebelum ini, sektor pelancongan asyik ditutup sahaja, sudah tentu habis pendapatan kami, jadi sekurang-kurangnya apa yang diperlukan ketika ini adalah sokongan kewangan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran merentas negeri dan luar negara selepas Malaysia mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Kok Liang berkata, hasrat kerajaan itu akan memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan negara secara keseluruhan.

“Banyak negara yang sudah membenarkan rakyat mereka yang menerima dua dos suntikan vaksin untuk melancong ke luar negara. Ada negara yang tidak payah kuarantin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN