RM82,000 kompaun dikeluarkan terhadap perokok, penjual rokok di NS - Utusan Malaysia

RM82,000 kompaun dikeluarkan terhadap perokok, penjual rokok di NS

S. VEERAPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 277 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) telah dikeluarkan kepada perokok dan penjual rokok di negeri ini.

Ia selepas mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) dalam operasi penguatkuasaan peraturan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM82,050 telah dikeluarkan dalam 172 operasi bersepadu di peringkat negeri dan daerah sehingga 27 Oktober lalu.

Menurutnya, daripada jumlah notis yang dikeluarkan, sebanyak 200 notis iaitu bersamaan 72.2 peratus dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) yang bernilai RM 50,000.

“Daripada 200 notis tersebut, sebanyak 181 notis adalah daripada perokok yang merokok di premis makanan manakala sebanyak dua notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di bawah Peraturan 12(1)(a) yang bernilai RM500

“Sebanyak lima notis terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan di atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka di bawah Peraturan 12(1)(b) yang bernilai RM1,500 dan sebanyak 11 notis terhadap Orang Belum Dewasa di bawah Peraturan 13 yang bernilai RM550 serta lain–lain kesalahan adalah sebanyak 59 notis bernilai RM29,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan menambah, sepanjang tahun lalu, sebanyak 378 operasi dijalankan di seluruh negeri ini dan sebanyak 1,472 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) telah dikeluarkan dengan nilai kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM367,200. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN