KLUANG: Konsep Keluarga Malaysia diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat berkongsi aspirasi yang sama dengan Projek Jiwa Murni mendorong Kementerian Pertahanan memperluaskan program berkenaan, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaatnya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejak diperkenalkan, projek tersebut terbukti memberikan kesan yang mendalam kepada semua pihak terlibat terutama mereka yang menerima manfaat daripada projek itu.
Malah, kata beliau, penglibatan warga Kementerian Pertahanan terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha berkenaan dilihat telah diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat yang disantuni.
Dalam menjayakan Projek Jiwa Murni itu, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah digerak untuk menyelaras dan melaksanakannya yang bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf dan kurang berkemampuan di kawasan dikenal pasti di seluruh negara.
“Tahun ini, sebanyak 107 projek telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.68 juta melibatkan kerja pembinaan baharu, baik pulih dan selenggara melibatkan kediaman individu awam, veteran ATM serta bangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd. Zain.

Tambah Hishammuddin, walaupun aspek keselamatan dan pertahanan negara sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan ATM tetapi tanggungjawab sosial dan peranan kepada masyarakat tidak pernah dipinggirkan.
“Pendekatan Keluarga Malaysia seperti ini akan dapat mendekatkan anggota kita dengan masyarakat awam dan ia merupakan satu inisiatif yang saya komited untuk terjemahkan dan realisasikannya,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik kediaman, Juriah Amat Saat, 81, memberitahu, dia bersyukur dan gembira kerana terpilih untuk menjadi penerima manfaat Projek Jiwa Murni bagi negeri Johor.
“Saya sangat bersyukur kerana mereka datang membantu dan membaiki semua kerosakan di rumah ini. Antara yang mereka baiki termasuklah zink yang bocor, lantai yang dimakan anai-anai dan juga bilik stor.
“Saya sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada semua pihak terlibat dan saya juga berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa depan untuk membantu lebih ramai pihak yang memerlukan,” jelasnya. -UTUSAN