Polis Kedah tubuh 73 pasukan pantau rentas negeri - Utusan Malaysia

Polis Kedah tubuh 73 pasukan pantau rentas negeri

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah menubuhkan sebanyak 73 pasukan bagi memantau perjalanan masuk orang ramai ke negeri ini sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan itu akan menjalankan pemeriksaan rawak terhadap orang ramai di beberapa kawasan tumpuan antaranya kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat-pusat peranginan serta lokasi tumpuan awam.

Katanya, langkah itu bagi memastikan orang ramai sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

“Pasukan ini akan sentiasa bergerak dan semalam, kita telah pun membuat pemeriksaan di R&R Gurun di kedua-dua arah. Alhamdulillah, semuanya tampak patuh terhadap SOP berkaitan suntikan vaksin.

“Pemantauan ini akan dilaksanakan secara berterusan termasuk di pusat-pusat peranginan dan kawasan orang ramai berkumpul termasuk di pasar raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri, namun, hanya mereka yang telah lengkap dua dos vaksin saja yang dibenarkan berbuat demikian.

Ismail Sabri menegaskan, walaupun tiada sekatan jalan raya (SJR) tetapi polis boleh melakukan pemeriksaan secara rawak di mana saja.

Kamarul Zaman menambah, pada hari pertama kebenaran rentas negeri itu dilaksanakan dianggarkan kira-kira 80,000 kenderaan merentas masuk ke negeri ini.

“Angka itu dijangka meningkat kepada 100,000 hingga 120,000 kenderaan pada hujung minggu ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN