PM ketuai Malaysia ke beberapa sidang kemuncak ASEAN - Utusan Malaysia

PM ketuai Malaysia ke beberapa sidang kemuncak ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 melalui persidangan secara video.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, ia turut meliputi sejumlah lima lagi sidang kemuncak berbeza serantau yang akan berlangsung padat dari esok sehingga Khamis ini.

Turut sama ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan sejumlah pegawai kanan lain.

“Pemimpin serantau dijangka bincang hala tuju dan usaha pembinaan komuniti ASEAN serta inisiatif isu Covid-19 selain bertukar pandangan perkara berkepentingan,” jelas Wisma Putra.

Mereka juga kemudian akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu dengan para pemimpin dari Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) disusuli Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur selain akan diselang seli dengan dua lagi persidangan kemuncak kerjasama ekonomi tiga negara.

Ia melibatkan Kawasan Pertumbuhan Ekonomi ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Ismail Sabri akan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Tahun ini, Brunei ialah Pengerusi ASEAN dengan tema ‘Kita Prihatin, Bersedia, Makmur Bersama’.

“Penyertaan Malaysia dalam semua sidang kemuncak berkenaan pada kali ini mencerminkan komitmen teguh terhadap ASEAN terutama cabaran pandemik Covid-19, malah merupakan penyertaan julung kali beliau dalam persidangan kemuncak terbesar ASEAN setelah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan pada 21 Ogos lalu,” kata kenyataan itu.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 lalu dengan Sekretariat di Jakarta, Indonesia serta dianggotai kesemua 10 negara rantau Asia Tenggara dan jumlah penduduknya seramai 666 juta orang. -UTUSAN ONLINE

  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya