Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 6 penjuru? - Utusan Malaysia

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 6 penjuru?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka menyaksikan pertandingan sehingga enam penjuru kerana parti-parti politik utama didakwa mahu melihat sokongan rakyat terhadap mereka.

Selain Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), tiga lagi parti yang dijangka meletakkan calon mereka ialah Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Kuasa Rakyat selain calon-calon Bebas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, PRN tersebut bakal menjadi medan ujian kepada mana-mana pihak untuk mengukur sejauh mana sokongan rakyat terhadap mereka sebelum membuat keputusan selanjutnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, mereka dijangka cuba bertanding secara solo untuk melihat sejauh mana kemenangan dalam PRN Melaka sebelum membuat sebarang keputusan terhadap hala tuju kerjasama dengan parti lain.

“Boleh dikatakan PRN ini menjadi jatuh bangun dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Bersatu sama ada masing-masing mampu meraih kemenangan dengan tanpa berganding bahu. Jika keputusan memihak kepada PH, mereka perlu melakukan sesuatu iaitu keperluan bekerjasama ketika PRU-15 kelak.

“Begitu juga PH, ini menjadi penanda aras sama ada pelbagai penjuru boleh memberikan kelebihan kepada mereka. Sama juga kepada parti-parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air, Parti Berjasa atau Parti Putra sama ada kehadiran mereka sebagai kuasa ketiga boleh memberi kesan kepada parti utama tanah air,” katanya ketika dihubungi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka yang ke-15 Isnin ini.

PRN Melaka perlu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 pada 4 Oktober lalu selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti sokongan sebagai Ketua Menteri.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan beliau, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu

Dalam pada itu, Mazlan menambah PRN Melaka dijangka mengulangi PRN Sabah yang juga menyaksikan enam penjuru apabila terdapat parti dan calon Bebas ingin mencuba nasib bertanding dalam pilihan raya.

“Agak sukar untuk melihat sejauh mana penglibatan parti-parti atau calon bebas akan bertanding sama ada mereka bergerak solo atau sebaliknya. Mungkin mereka menunggu keputusan sama ada PRN Melaka akan diteruskan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaacob berkata, pihaknya tidak berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum apatah mencuba nasib dalam PRN Melaka.

Namun kata beliau, partinya mungkin akan turun membantu sebagai parti yang mesra kerajaan.

“Fokus kita sekarang membantu rakyat dengan program rakyat seperti tuisyen, pertanian dan sebagainya. Sebab itu kita tidak berhasrat bertanding PRN Melaka mahupun PRU-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN