KUALA NERUS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 1.3 juta batang rokok tidak bercukai yang bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam dua serbuan berasingan Op Kontraban di negeri ini dan Kuala Krai, Kelantan.
Komandernya, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, dalam rampasan pertama pada Sabtu lalu, pihaknya menemukan sebanyak 400,000 batang rokok putih dalam sebuah lori di stesen minyak di Manek Urai, Kuala Krai.
Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang pemandu lori warga tempatan berusia 37 tahun bagi membantu siasatan.
“Kita turut merampas lori, dua telefon bimbit di samping wang tunai dan hasil siasatan mendapati suspek menyalah gunakan lori syarikat baja untuk membawa rokok dari Wakaf Bharu ke Gua Musang, Kelantan.
“Suspek kini direman hingga 6 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di Batalion 9 PGA di sini, hari ini.
Hasan Basri berkata, siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan syarikat baja itu dalam sindiket rokok seludup tersebut.
Katanya, dalam rampasan kedua pula, sebanyak 900,000 batang rokok putih ditemukan dalam sebuah lori tanpa pemandu di medan selera Sungai Tong, Setiu, semalam.
Menurutnya, sejak Op Kontraband dijalankan April lalu hingga kini, pihaknya merekodkan lebih RM7.4 juta hasil rampasan. -UTUSAN ONLINE










