PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) digesa melakukan pemeriksaan terhadap semua pekerja asing di lebih 5,000 kilang di daerah ini kerana kebanyakannya dipercayai masih belum divaksin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, operasi bersepadu dengan semua agensi berkaitan perlu dilakukan bagi mengetahui bilangan pekerja asing yang sudah ataupun belum divaksin.
“Kami dimaklumkan terdapat kilang-kilang besar, malah, berstatus antarabangsa di kawasan industri di Pasir Gudang masih tidak melakukan proses vaksinasi terhadap pekerja mereka.
“Kilang yang ada ini tidak perlu menunggu bantuan kerajaan kerana mereka boleh melakukan proses vaksinasi sendiri. Ini tanggungjawab mereka untuk memastikan keadaan dan persekitaran selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan untuk sarapan, tengah hari dan malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Balai Raya Kampung Kuala Masai di sini, hari ini.
Tambah Che Zakaria, jika perkara itu dibiarkan, ia dibimbangi mencetuskan kluster kilang kerana sebelum ini Johor pernah mempunyai kes yang tinggi disebabkan pekerja warga asing tidak divaksin.
“Aspek keselamatan kesihatan tersebut tidak wajar diabaikan kerana dibimbangi akan menjadi ‘perkara biasa’ contohnya seperti kejadian pencemaran kimia di daerah ini yang kerap berulang.
“Bukan sahaja aspek vaksinasi tetapi pemeriksaan di asrama dan rumah pekerja asing perlu dilakukan bagi memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) contohnya tidak sesak dan sentiasa bersih,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memuji usaha dilakukan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam memastikan rakyat Johor mendapat vaksin termasuk inisiatifnya dalam memulihkan ekonomi negeri.
“Ini termasuk juga penglibatan Menteri Besar Johor dalam memastikan sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka segera kerana ekonomi negeri banyak bergantung kepada republik itu, begitu juga sebaliknya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE