Perairan Laut China selatan terkawal - Utusan Malaysia

Perairan Laut China selatan terkawal

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM) Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perairan negara termasuk Laut China Selatan terkawal daripada sebarang ancaman mahupun pencerobohan pihak luar.

 

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap siaga menugaskan aset miliknya untuk menjaga kedaulatan perairan negara.

 

Menurut beliau, TLDM sentiasa mengawasi dan memantau perairan negara melalui tujuh operasi melibatkan kapal-kapal miliknya di perairan negara termasuk Laut Cina Selatan.

 

“TLDM sentiasa memantau bersama-sama dengan Tentera Udara Malaysia (TUDM) kerana ia melibatkan pengawasan udara sekali.

 

“Kita melaporkan kepada pihak yang tertentu berkaitan kehadiran unsur-unsur asing ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang, di Pangkalan TLDM di sini hari ini. 

 

Abdul Rahman mengulas laporan Utusan Malaysia pada 26 September lalu, yang memetik laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

 

Insiden itu berlaku selepas tidak sampai 24 jam TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal negara itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

 

Menurut Abdul Rahman, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak 2013 dan terdapat peningkatkan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Jika anda mengikuti perkara ini dengan teliti, kejadian kemasukan kapal pengawal pantai daripada China dan sebagainya dari tahun 2013 sudah ada, tapi kita pantau, kita laporkan sehingga sekarang.

 

“Jadi situasi itu masih lagi terkawal dan bagi pihak TLDM kita sentiasa bersedia menugaskan aset kita untuk berada di kawasan seperti yang telah diarahkan bagi memantau keadaan,” katanya.

 

Menurutnya, namun untuk menganggap sesuatu kehadiran itu adalah pencerobohan, ia memerlukan siasatan dan pemeriksaan lanjut kerana mempunyai perbatasan maritim. 

 

“Apabila (kapal dari China) lalu kawasan berkenaan, kita akan melaporkan dan mengesan serta menyalurkan maklumat kepada pihak tertentu,” katanya.

 

Sementara itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah serta mencemar duli menyempurnakan upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang.

 

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar), Ahmad Nazri Mohd. Hasan.

 

KD Panglima Garang dinamakan sempena nama Panglima Garang dalam sejarah Kesultanan Selangor, iaitu gelaran yang dianugerahkan kepada Pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN