JAKARTA: Industri dangdut menjadi antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 di Indonesia.
Seorang penyanyi dangdut yang dikenali dengan nama pentas Ratu Ranesa memberitahu, dia kini sudah bertukar kerjaya iaitu menjual makanan secara dalam talian.
“Apabila pandemik Covid-19 melanda Indonesia sejak tahun lalu, dunia dangdut saya ‘tunggang terbalik’ apabila saya tidak lagi mendapat banyak tawaran persembahan, selain perlu mencari rezeki dengan cara lain.
“Waktu malam saya akan buat persembahan jika ada jemputan dan awal pagi, saya perlu menyiapkan makanan untuk dijual,” katanya.
Katanya, pada waktu biasa, persembahan dangdut tidaklah terlalu sukar untuk diadakan, namun koronavirus menjadikan sektor hiburan itu semakin ‘pupus’.
Jelas Ranesa, kawalan pergerakan dan arahan duduk di rumah menyebabkan dia dan banyak lagi penyanyi dangdut tidak dapat cari makan.
Seorang lagi artis dangdut, Salsabila turut mengakui keadaan tersebut dan memaklumkan dia pernah memperoleh pendapatan sebanyak 7.5 juta rupiah (RM2,200) sebulan dengan melakukan persembahan.
Namun kini, jumlah pendapatannya merosot, selain dia rindukan suasana orang ramai menari dan menyanyi bersama ketika membuat persembahan.
Bagi Novi Listiana pula, dia tidak pernah menyangka akan menjadi petani selepas kerjayanya sebagai penyanyi dangdut tidak lagi mampu mengisi ‘periuk nasinya’.
“Pada mulanya saya malu untuk bertani, namun saya tiada pilihan dan kini, hasil pertanian mula membuahkan hasil . Semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya.










