SYDNEY: Kira-kira lima juta penduduk Sydney meraikan ‘Hari Kebebasan’ hari ini, selepas hampir empat bulan dikenakan perintah berkurung akibat penularan Covid-19.
Dengan 70 peratus penduduk sudah divaksin sepenuhnya, New South Wales akan membenarkan pembukaan semula semua kedai runcit, pub, restoran, pawagam, teater selain mengurangkan sekatan perjalanan.
Setelah kadar vaksinasi mencecah 80 peratus dalam tempoh satu atau dua minggu kemudian, sekatan akan dilonggarkan lagi dengan penduduk dibenarkan untuk memandu dan bercuti di mana-mana sahaja di New South Wales.
Seorang pemilik hotel butik kecil bertaraf lima bintang di Central Coast di utara Sydney, Brian Barry berkata, penduduk berasa terdesak untuk bercuti dan berbelanja secara berlebihan.
“Ada banyak wang di luar sana kerana tiada sesiapa yang membelanjakannya,” katanya.
Jelas Barry, kaviar, udang karang dan wain import premium berkemungkinan besar mendapat permintaan tinggi ketika rata-rata pelanggan yang menempah hotelnya pernah dikenakan perintah berkurung tinggal di rumah selama hampir 16 minggu.
Dengan sebahagian besar bilik di hotelnya ditempah penuh selama beberapa bulan, Barry percaya ini merupakan permulaan bagi `pertumbuhan’ pelancongan serantau.
“Jika anda menganggap Covid-19 sudah menjadi tragedi, maka ini juga memberikan dorongan pemasaran yang besar untuk Central Coast,” katanya.
Ia adalah gambaran sama di Sydney yang mana teater, konsert dan acara luar dijangka mengubah bandar pelabuhan menjadi pusat sosial di negeri ini.
Dilaporkan, agensi perancang majlis juga bekerja sepanjang masa untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
Perunding, Chrissy Biasotto yang pernah menganjurkan majlis makan malam bagi jenama kecantikan antarabangsa berkata, penganjuran sesuatu majlis biasanya memerlukan empat hingga lima bulan untuk membuat persediaan.
“Kami kini terpaksa mempercepatkan seluruh proses perancangan itu. “Kami juga akan cuba berusaha mempercepatkan semua acara tambahan bagi sambutan awal Disember,” katanya.
Dilaporkan, sepanjang Oktober dan November, individu yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dilarang untuk memasuki kebanyakan kedai runcit, pub, kelab serta kemudahan sosial dan sukan.
Hanya penduduk yang sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan untuk menikmati kebebasan baharu di Sydney.
Penduduk yang lain pula perlu menunggu hingga Disember depan, manakala beberapa pihak menyifatkan undang-undang itu sebagai satu bentuk apartheid. – AGENSI










