Penduduk rayu SKMM pasang menara telekomunikasi - Utusan Malaysia

Penduduk rayu SKMM pasang menara telekomunikasi

SUFIYYAH Qurratuain Sulaiman mengikuti kelas secara dalam talian di pintu dapur rumahnya bagi mendapatkan capaian internet di Kampung Pondok Lama, Pokok Sena, Alor Setar. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 1,000 penduduk di sekitar Kampung Bukit, Pokok Sena di sini merayu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) membina menara telekomunikasi untuk mengatasi masalah capaian internet yang lemah.

Antara kampung lain yang terlibat iaitu Kampung Pondok Lama, Kampung Padang Bakong, Kampung Rancangan Teratur, Kampung Hulu dan Keda Kampung Bukit.

Penduduk mendakwa golongan pelajar yang tinggal di kawasan itu paling terkesan kerana menghadapi kesukaran mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak tahun lalu.

Seorang penduduk Kampung Pondok Lama, Ramli Awang, 45, berkata, masalah capaian internet di kawasan tersebut didakwa telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu akibat pertambahan penduduk dan pengguna internet.

Sehubungan itu, katanya, penduduk berharap SKMM dapat membina sebuah menara telekomunikasi baharu di kawasan ini

“Kami dimaklumkan kawasan ini hanya peroleh capaian internet daripada menara telekomunikasi di pekan Pokok Sena atau di Padang Terap yang terletak agak jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Sulaiman Abd. Wahab, 53, berkata, dia terpaksa menghantar empat orang anaknya yang masih bersekolah ke rumah kakaknya di luar kawasan ini bagi mendapatkan capaian internet untuk mengikuti PdPR.

“Saya ada dua anak sedang belajar di politeknik dan dua lagi di sekolah menengah, seawal pukul 8 pagi saya akan hantar mereka ke rumah kakak saya dan ambil semula pada waktu petang supaya mereka boleh mengikuti PdPR,” ujarnya.

Pelajar Politeknik Tunku Sultanah Bahiyah, Kulim, Sufiyyah Qurratuain Sulaiman, 19, berkata, dia yang terlibat dengan persatuan di kolejnya hadapi kesukaran jika perlu mengadakan perbincangan secara dalam talian kerana capaian internet yang lemah.

Menurutnya, dia kebiasaannya berada di pintu dapur rumahnya untuk mendapatkan talian internet walaupun perlahan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN