Pencemaran buangan minyak: Syarikat kenderaan komersial dikompaun RM30,000  - Utusan Malaysia

Pencemaran buangan minyak: Syarikat kenderaan komersial dikompaun RM30,000 

PEGAWAI JAS Pulau Pinang memeriksa premis penyelenggaraan kenderaan komersial di Bukit Mertajam semalam susulan aduan awam berhubung pencemaran buangan minyak di Sungai Kubang Semang sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan komersial di sini dikompaun RM30,000 kerana disyaki gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan kompaun itu diambil selepas pihaknya menjalankan siasatan  susulan aduan awam berhubung pencemaran buangan minyak di Sungai Kubang Semang, Jalan Permatang Nibong di sini, malam kelmarin. 

Kata beliau, pemeriksaan mendapati premis’ di situ gagal menyelenggara perangkap dan penapis minyak dengan baik hingga berlakunya pencemaran. 

Menurutnya, premis tersebut yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial bersama beberapa syarikat petrokimia utama di negara ini juga didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

“Pada masa sama, mereka (premis) gagal menyediakan Orang Yang Berwibawa (competent person) bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, parit monsun dalam kawasan premis telah dicemari oleh buangan minyak yang berpunca daripada ‘oil interceptor’ (penapis minyak), kawasan penstoran buangan terjadual serta ruang pembasuhan (washing bay) untuk kenderaan berat selain tumpahan minyak yang dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel dalam kawasan premis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sehubungan itu katanya, arahan serta-merta telah dikeluarkan terhadap premis itu untuk menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang telah memasuki Sungai Kubang Semang dengan kadar segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius. 

Beliau berkata, JAS negeri memandang serius isu pencemaran itu dan akan mengenakan tindakan lebih tegas kepada pihak premis bagi kesalahan-kesalahan lain yang mungkin dijumpai semasa pemeriksaan susulan. 

Tegasnya,  tindakan yang sama juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal menguruskan buangan terjadual. 

“Kita juga menggesa semua syarikat petrokimia atau mana-mana syarikat perniagaan yang menggunakan khidmat pengangkut untuk menjalankan audit pematuhan (compliance audit) terhadap semua kontraktor ‘fleet operator’ yang berurusan dengan syarikat mereka supaya sama-sama memastikan pematuhan kepada peruntukan perundangan berkaitan alam sekitar dipatuhi di setiap peringkat operasi. 

“Sebarang buangan minyak mineral yang terhasil daripada penyelenggaraan perangkap dan penapis minyak juga haruslah diuruskan di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS negeri sahaja,” katanya. 

Tambah Sharifah Zakiah, selain mengeluarkan notis arahan pembersihan dan menanggung segala kos berkaitan, pihaknya juga telah mengarahkan premis berkenaan menjalankan kajian tanah tercemar serta menanggung sepenuhnya semua kos kajian dan pembersihan tersebut.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya