KINABATANGAN: Tidak perlu lagi lampu pelita mahupun set janakuasa bergerak, kini penduduk Kampung Balat sudah boleh menikmati kemudahan bekalan elektrik.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sejak stesen janakuasa Balat mula beroperasi pada 1 Ogos lalu, kira-kira 400 orang penduduk kampung ini sudah boleh menikmati bekalan elektrik selama 24 jam.
“Menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dimulakan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) ini, penduduk di kawasan luar bandar kini boleh menikmati kemudahan elektrik yang lebih baik.
“Oleh itu, saya berharap lebih banyak perkampungan di luar bandar akan mendapat bekalan elektrik pada masa hadapan,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan ceria ke sekolah TNB/SESB dan perasmian Stesen Janakuasa Balat semalam.
Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya ini berharap agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat melaksanakan projek-projek BELB yang telah dirancang.
“Saya difahamkan sebanyak RM120.5 juta peruntukan diberikan bagi melaksanakan projek BELB sambungan talian grid bagi tiga zon di Sabah.
“Saya percaya inisiatif ini akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar yang dahulunya gelap akan bercahaya dan penduduk kampung dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu menggunakan set janakuasa bergerak,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, usaha sebegitu akan membolehkan pembangunan sosio-ekonomi di kampung-kampung terlibat terus berkembang.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, bekalan elektrik dari set janakuasa Balat itu akan disalurkan ke beberapa kampung lain dengan kapasiti 700 megawatt.
Bekalan elektrik ini akan turut dinikmati sehingga ke Kampung Pinangah dan beberapa buah kampung berhampiran akan dalam sedikit masa lagi. -UTUSAN ONLINE