Pematuhan SOP rakyat Perlis baik, rentas negeri antara punca jangkitan - Utusan Malaysia

Pematuhan SOP rakyat Perlis baik, rentas negeri antara punca jangkitan

AZLAN MAN (tengah) pada majlis Hari Sukan Negara 2021 peringkat Perlis di Kompleks Belia dan Sukan negeri, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Peningkatan jumlah kes Covid-19 di Perlis mungkin berterusan sehingga beberapa minggu lagi sebelum keadaan kembali stabil.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat negeri ini sudah cukup baik namun kemasukan penduduk dari negeri lain atau rentas negeri  menjadi antara punca peningkatan itu.

Katanya, tindakan segelintir individu luar dari lokasi yang mempunyai banyak kes mencuri masuk ke negeri ini secara tidak langsung boleh menyebarkan virus berkenaan dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sebenarnya kita tidak ada isu daripada segi pematuhan SOP, tetapi masalah kehadiran individu luar yang mencuri masuk ke negeri ini seperti dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan secara tidak langsung menyebarkan virus itu.

“Kalau diketatkan SOP atau penguat kuasaan sekali pun namun ada orang curi-curi masuk sama juga. Pematuhan sebenarnya sudah cukup baik dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri ini di Kompleks Belia dan Sukan negeri Perlis di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Covid-19 di Perlis yang meletus sehingga merekodkan 200 kes baharu kelmarin cukup membimbangkan sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi kes harian sejak tercetusnya pandemik hampir dua tahun lalu.

Kluster Penyayang Jejawi yang mula dilaporkan pada 1 Oktober lalu membabitkan warga emas penghuni Rumah Seri Kenangan di sini dan kakitangannya menjadi penyumbang tertinggi iaitu merekodkan sebanyak 94 kes positif

Selain itu, Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata, aktiviti rentas negeri secara haram menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Sementara itu, Azlan berkata, persoalan bila Perlis akan beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah tidak relevan apabila kadar vaksinasi orang dewasa sudah mencapai 90 peratus di seluruh negara

“Apabila sudah mencapai 90 peratus maka merentas negeri dan aktiviti harian lain sudah dibenarkan. Jadi sudah tidak relevan fasa keempat dan sebagainya itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN