PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menambah baik fungsi perundangan melibatkan bidang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk beberapa peruntukan baharu Akta SPRM 2009.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antaranya ialah berhubung cadangan salah laku penjawat awam yang sabit kesalahan menyebabkan secara sengaja ketirisan dan kerugian terhadap dana kerajaan.
Kata beliau, begitu juga kesalahan organisasi komersial atau seseorang dalam penjualan tender kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan sendiri tanpa melaksanakan projek tersebut.
“Cadangan itu dengan memperkasakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) diperkenalkan pada awal 2019 lalu sebagai aspirasi negara dengan dipertanggungjawabkan kepada SPRM.
“Agensi itu menerajui 11 inisiatif digariskan antaranya pelantikan Ketua Pesuruhjaya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau dan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pihak kementerian jabatan berkenaan di Dewan Rakyat menerusi kenyataan hari ini.
Dari segi penguatkuasaan, SPRM jelas Wan Junaidi, akan memberi fokus isu ketirisan dana, kepentingan awam dan keselamatan negara serta mengemas kini teknik penyiasatan baharu melalui kerjasama dengan beberapa pihak sama ada agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan isu rasuah ditangani baik di semua peringkat.
Tambahnya, dalam aspek pendidikan, SPRM menekankan usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan untuk bekerjasama dalam misi memerangi rasuah.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, sesi libat urus bersama ahli-ahli Parlimen diadakan hari ini bagi berbincang isu Perjanjian Malaysia 1963 dengan matlamat memberi penerangan inisiatif itu diambil.
Tidak ketinggalan ialah isu Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan yang ujarnya, bagi membolehkan jawatan baharu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga dapat diwujudkan. -UTUSAN ONLINE