KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menjadi negara pengeluar vaksin ke atas manusia dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, sebagai permulaan ke arah matlamat itu, sebuah pusat vaksin negara dinamakan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan ditubuhkan segera menyedari hakikat sukar untuk negara terus bergantung dan mendapatkan vaksin daripada negara luar.
“Pelan ini diselaraskan dengan kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi badan kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat supaya pendekatan lebih menyeluruh dapat dikoordinasikan.
“Oleh itu, kepakaran dalam negara sedang dikenal pasti dan disusun bagi memastikan strategi dan tindakan dapat dilaksanakan mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat petang ini.
Dalam perkembangan lain, kata Adham, kerajaan sedang mempergiat usaha dan sokongan kepada lebih ramai bakat tempatan yang mampu mencipta teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri tempatan melalui penyelidikan pembangunan, pengkomersilan dan inovasi.
Di bawah RMK-12, katanya, kementerian sudah memperuntukkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta manakala perbelanjaan kasar R&D diharap dapat ditingkatkan daripada 1.14 peratus pada 2018 kepada 2.5 peratus pada 2025.
“Melalui peruntukan ini, kementerian akan memastikan 50 peratus daripada dana penyelidikan digunakan bagi pembangunan penyelidikan untuk projek yang berpotensi untuk dikomersialkan.
“Melalui usaha ini juga diharap banyak syarikat tempatan dapat beralih daripada sektor pengguna teknologi kepada pembangun dan pencipta teknologi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










