[PARLIMEN] Harga tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak masih tinggi - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Harga tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak masih tinggi

HENRY SUM AGONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak masih menunjukkan kadar yang tinggi, malah ada tiket yang lebih mahal berbanding harga yang ditetapkan pada 2019.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, ini berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan oleh Suruhajaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi tempoh antara 26 September 2021 sehingga 2 Oktober 2021.

“Untuk perjalanan selepas 8 Oktober 2021, MAVCOM mendapati penerbangan di antara Kuala Lumpur-Kuching telah merekodkan harga tiket yang lebih rendah iaitu di antara 29 peratus sehingga 74 peratus berbanding harga tiket pada tahun 2019, manakala laluan-laluan lain seperti Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur Sibu masih lagi merekodkan harga yang tinggi iaitu di antara RM530 hingga RM1,600 untuk sehala.

“Bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, berdasarkan pemantauan bagi tempoh antara 26 September 2021 sehingga 2 Oktober 2021,MAVCOM mendapati harga tiket yang lebih tinggi di antara 8 peratus hingga 163 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada tahun 2019,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, harga tiket penerbangan yang tinggi merupakan kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan.

“Pelaksanaan had kapasiti ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menangani penularan wabak Covid-19.

“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak telah berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum wabak Covid-19, manakala bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan telah berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding semasa tempoh sebelum wabak Covid-19,” katanya.

Namun, beliau berkata, kerajaan pada pada 24 September lalu bersetuju untuk membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan bagi mana-mana laluan di antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak daripada 22 penerbangan seminggu kepada 87 penerbangan seminggu.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Sarawak juga telah bersetuju untuk membenarkan syarikat penerbangan menyediakan perkhidmatan tanpa had kapasiti penumpang. Peningkatan kekerapan dan kelonggaran had kapasiti ini telah berkuat kuasa mulai 8 Oktober 2021,” katanya.

Justeru, beliau berkata, harga tiket penerbangan bagi laluan-laluan ke negeri Sabah dan Sarawak dijangka akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak,” katanya.

Tambahnya lagi, syarikat penerbangan secara amnya menawarkan bayaran balik atau refund kepada penumpang terkesan daripada pembatalan penerbangan akibat penularan wabak Covid-19.

“Pada kebiasaannya, pilihan diberikan kepada penumpang untuk menerima bayaran balik dalam bentuk baucar perjalanan atau kredit akaun yang boleh digunakan untuk perjalanan yang ingin dilakukan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah kerajaan dalam mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung dan Sabah yang sangat mahal ketika pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN