WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump percaya rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin bersedia menamatkan perang di Ukraine namun menjangkakan proses damai mungkin memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi pertemuan yang turut melibatkan pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Sebelum sidang kemuncak antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung di Alaska, Zelensky dan sekutu Eropahnya giat meningkatkan usaha untuk menghalang sebarang perjanjian antara AS dan Russia yang mungkin tercapai dan boleh meninggalkan Ukraine terdedah kepada serangan di masa hadapan.
“Saya fikir Putin akan berdamai dan saya fikir Zelensky juga akan berdamai. Kita akan lihat sama ada mereka boleh bekerjasama,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
Trump merendahkan jangkaan sidang kemuncak itu akan menghasilkan gencatan senjata, malah membayangkan kemungkinan diadakan pertemuan kedua yang melibatkan lebih ramai pemimpin.
“Saya rasa ini akan menjadi pertemuan yang baik, tetapi pertemuan yang lebih penting ialah pertemuan kedua yang akan kita adakan nanti. Kita akan adakan mesyuarat dengan Putin, Zelensky, saya sendiri dan mungkin beberapa pemimpin Eropah.
“Pertemuan kedua akan menjadi sangat, sangat penting. Pertemuan ini ibarat permainan catur, ia mengatur laluan untuk pertemuan kedua. Tetapi ada 25 peratus kemungkinan pertemuan ini tidak akan berjaya,” katanya.
Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen, Putin berkata, AS sedang mencipta usaha yang cukup bertenaga dan ikhlas untuk menghentikan pertempuran, krisis serta mencapai persetujuan yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam konflik itu.
“Langkah ini diambil bagi mewujudkan syarat jangka panjang untuk keamanan antara negara kita, di Eropah dan di seluruh dunia sekiranya pada peringkat seterusnya kita mencapai persetujuan dalam bidang kawalan senjata serangan strategik,” katanya.
Kenyataan itu memberi isyarat Russia akan membangkitkan isu kawalan senjata nuklear sebagai sebahagian perbincangan keselamatan yang lebih luas apabila bersemuka dengan Trump.
Seorang pembantu Kremlin berkata, kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan potensi besar yang belum diteroka dalam hubungan ekonomi Russia-AS.
Seorang pegawai kanan Eropah Timur yang enggan dikenali berkata, Putin mungkin cuba mengalih perhatian Trump daripada isu Ukraine dengan menawarkan kemajuan dalam kawalan senjata nuklear atau peluang perniagaan.
“Kami berharap Trump tidak terpedaya dengan Russia, beliau faham semua perkara berbahaya ini. Tujuan utama Russia ialah mengelakkan sekatan baharu dan menghapuskan sekatan sedia ada,” kata pegawai itu
Dalam temu bual terdahulu dengan Fox News, Trump berkata, akan ada ‘tawar-menawar’ berkaitan sempadan dan wilayah.
Namun Trump menegaskan, terpulang kepada Putin dan Zelensky untuk mencapai perjanjian dan beliau tidak akan berunding bagi pihak mereka.










