IPOH: Industri filem tempatan amat terhutang budi kepada Allahyarham Mamat Khalid yang mampu mencungkil bakat orang biasa sehingga menjadi bakat besar dalam dunia perfileman.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, antara watak dalam filem Allahyarham seperti Pak Jabit, Yah Kucai dan banyak lagi cukup dikenali dan menjadi karakter yang mempunyai nilai yang tersendiri.
“Ini yang sebenarnya kita terhutang budi kepada Allahyarham kerana mencungkil bakat yang kita tak sangka-sangka, sehingga menjadi satu bakat besar kepada industri perfileman kita.
“Karya Allahyarham juga unik kerana mengembalikan nostalgia cerita di kampung dan budaya masyarakat setempat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menziarahi keluarga Allahyarham Mamat Khalid di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini hari ini.
Pada kunjung tersebut, Zakaria menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham, Hasmah Hassan.
Zakaria berkata, karya Allahyarham Mamat perlu dicontohi pengarah dan penerbit lain kerana memperkenalkan budaya masyarakat negara ini di mata dunia.
Katanya, walaupun tidak menampilkan pelakon terkenal, karya Allahyarham sentiasa mendapat sambutan.
“Beliau tidak mengambil pelakon yang mempunyai jutaan pengikut dalam media sosial atau menonjolkan kereta mewah, cukup karakter mereka yang mampu menghidupkan watak,” katanya.
Menurutnya, mungkin ada segelintir pihak yang mempertikaikan hasil kerja karya Allahyarham, namun karya Mamat Khalid unik dan tiada tolok banding.
“Karya beliau adalah satu karya yang menunjukkan kehidupan sebenar dan budaya masyarakat setempat.
“Allahyarham memilih penggambaran di kawasan kampung tetapi beliau tetap dapat menerbitkan filem yang box office,” katanya.
Antara karya Allahyarham yang terkenal dan mendapat sambutan termasuk filem Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan banyak lagi.
Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
Sebelum itu, pengarah dan penerbit terkenal itu membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum pengsan dibawa ke Hospital Slim River. – UTUSAN ONLINE