Malaysia-AS perkukuh komitmen dalam pelbagai hala - Utusan Malaysia

Malaysia-AS perkukuh komitmen dalam pelbagai hala

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hubungan dua hala terjalin antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akan terus diperkukuhkan termasuk menerusi program pertukaran lawatan pemimpin tinggi.

 

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu antara yang dibincangkannya menerusi perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken lewat semalam yang turut sama-sama berikrar meneruskan komitmen hubungan baik Putrajaya-Washington DC dalam potensi kerangka perkongsian komprehensif.

 

“Kedua-dua menteri itu melahirkan keazaman untuk meneruskan momentum jalinan dua hala antara Malaysia dan AS dalam pelbagai bidang,” kata kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.

 

Pernyataan tersebut turut selari dengan makluman jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam sidang akhbar rutin di ibu kota, Washington DC lewat malam tadi waktu Malaysia.

 

Antara diperbincangkan ialah bidang kesihatan dan keselamatan meliputi isu-isu serantau dan antarabangsa khasnya situasi semasa di Myanmar dan kemelut Laut China Selatan ketika ini.

 

Saifuddin turut berkongsi keprihatinan Malaysia atas isu kerjasama pertahanan tiga pihak, Australia-United Kingdom-AS (AUKUS) yang dibimbangi mencetuskan ketegangan baharu dan berkemungkinan menyebabkan perlumbaan senjata di rantau Asia Tenggara.

 

Beliau turut mengulangi komitmen ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan menyeru agar semua pihak terlibat untuk menghormati dan mematuhi Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.

 

Ini ujarnya, selaras Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear ASEAN yang dimeterai di Bangkok, Thailand pada 1995 melibatkan semua 10 negara anggota dan berkuat kuasa pada 1997 selain berharap semua pihak mengukuhkan kerjasama bagi memastikan kestabilan serantau kekal berdasarkan ‘ASEAN Outlook Indo-Pacific’ dimeterai pada 2019.

 

Saifuddin juga menzahirkan penghargaan keprihatian AS atas sumbangan sejuta dos vaksin Covid-19 pada Julai lalu dan bantuan kewangan khas AS$800,000 (RM3.3 juta) baru-baru ini yang disalur menerusi Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang berpusat di Switzerland bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 

“Kedutaan AS di Kuala Lumpur turut beri pelbagai bantuan peralatan dan sumbangan tertentu sebanyak AS$2.85 juta (RM11.9 juta) sejak wabak itu melanda awal tahun lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN