PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membantah pengambilalihan Akademik KTM (MyRA) yang kini dinamakan National Railway Centre of Excellent (NARCoE) oleh Kementerian Pengangkutan.
Presidennya, Abdul Razak Md. Hassan berkata, pengambilalihan itu secara tidak langsung melupuskan Pusat Latihan Keretapi yang memberi latihan dan kursus pendidikan kepada pekerja KTMB dari sudut operasi dan teknikal yang telah wujud sejak puluhan tahun lalu.
Selain itu, katanya, ia memberi kesan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengeluarkan kos pembayaran kepada pihak yang mengambil alih MyRA dengan kos yang tinggi terutama ketika mereka memberikan latihan kepada 5,700 pekerja.
“Tindakan ini boleh mengakibatkan pengurangan kakitangan secara tidak langsung dengan tugasan di MyRA, maka, jika ini berlaku, ia akan merebak ke jabatan lain.
“Kewujudan NARCoE adalah baik, namun, ia perlu dibangunkan di lokasi dengan kos tanggungan kerajaan dan bukannya mengambil alih hak KTMB dalam merencanakan pembangunan latihan dari aspek operasi, teknikal dan keselamatan.
“Kerajaan harus membantu kami dengan lebih banyak bantuan kewangan memandangkan KTMB adalah syarikat yang diperbadankan melalui kementerian kewangan yang memberikan khdimat sosial kepada rakyat dan bukannya berasaskan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas kesatuan itu hadir ke Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Sekali Kali Ke-14 Sesi 2020-2030 hari ini.
Kementerian Pengangkutan diterajui oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Dalam pada itu, Abdul Razak mempersoal kedudukan hampir 40 kakitangan MyRA sama ada mereka akan kekal atau dipindahkan ke jabatan lain di seluruh KTMB yang dikhuatiri mencetuskan lebihan pekerja.
Malah, katanya, terdapat dalam kalangan kakitangan KTMB yang pakar dalam bidang masing-masing telah dipaksa berpindah ke jabatan lain atau mungkin berlaku skim pemisahan sukarela (VSS) akibat pengambilalihan MyRA.
“Bagaimana pula jika KTMB hendak menghantar pekerja KTMB mengadakan kursus seperti biasa berdasarkan silibus diperuntukkan oleh tenaga pengajar di MyRA sebelum ini? Adakah KTMB perlu membayarnya atau gaji pekerja perlu dipotong semata-mata mendapatkan kursus di MyRA?,” soalnya.
Untuk rekod, KPPKTMB akan mengambil tindakan undang-undang selaras di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967. -UTUSAN ONLINE










