KUANTAN: Sama ada kerajaan melaksanakan Darurat ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, segala keputusan yang bakal diputuskan kelak, biar dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara.
Apa yang penting, keputusan yang bakal diputuskan nanti berhubung kemelut politik Melaka perlu dibuat secara berperlembagaan, musyawarah serta berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, apa pun situasinya kelak, kata putus dari kerajaan dalam pergolakan politik di Melaka perlu tertumpu kepada aspek kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi negara.
Katanya, biarpun negara hampir mencapai imuniti kelompok, namun pertimbangan sewajarnya dan terperinci perlu dibuat oleh kerajaan sama ada PRN Melaka boleh dilaksanakan ataupun ditangguhkan.
“Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan wabak pandemik Covid-19 yang mana penularannya masih lagi belum berakhir, tidak ada perkara yang lebih penting daripada kesihatan awam.
“Sebagai parti keramat orang Melayu, saya yakin UMNO juga tidak akan berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, rakyat baharu sahaja menarik nafas lega selepas pelbagai kelonggaran diberikan oleh kerajaan termasuk makan di kedai, bercuti dalam negeri dan terbaharu kebenaran merentas negeri.
“Kerajaan perlu mengambil iktibar apa yang berlaku selepas PRN Sabah, kes positif meningkat bukan sahaja di sana malah di seluruh negara sehingga banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Buatlah keputusan demi kemenangan dan kepentingan bersama rakyat dan negara mengatasi segalanya termasuk kepentingan politik,” katanya.- UTUSAN ONLINE










