PETALING JAYA: Kebenaran rentas negeri sejak 11 Oktober lalu melonjakkan kes kemalangan jalan raya selepas ratusan ribu melakukan perjalanan sama ada untuk pulang ke kampung atau ke destinasi percutian.
Sepanjang tempoh seminggu dari 11 hingg 17 Oktober lalu, kes kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 17.4 peratus dengan 11.3 peratus kemalangan membabitkan kecederaan parah manakala 6.1 peratus lagi kemalangan maut.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, sebanyak 193 kemalangan maut dan parah direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh seminggu itu.
“Bagi kemalangan ringan pula, terdapat penurunan sebanyak 4.4 peratus dalam tempoh sama apabila sebanyak 454 kes kemalangan direkodkan berbanding 475 kes dicatatkan sebelum rentas negeri dibenarkan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 112 kematian dicatatkan berbanding 104 kes sebelum itu,” katanya di sini semalam.
Mat Kassim berkata, kemalangan membabitkan penunggang motosikal kekal tinggi direkodkan berbanding kenderaan lain sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, sebanyak 80 kemalangan membabitkan motosikal diikuti kereta (18 kes); basikal (enam kes); pejalan kaki dan kenderaan pacuan empat roda (4X4) masing-masing (tiga kes); selain lori (dua kes).
“Senario ini jelas menunjukkan peningkatan aliran semasa rentas negeri sejak 10 Oktober lalu akan memberikan kesan dalam peningkatan kadar kemalangan jalan raya berdasarkan trend semasa.
“Justeru pemantauan berterusan oleh JSPT akan giat dijalankan di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan sama ada di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara,” jelasnya.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan sikap pemandu yang cuai dan terburu-buru untuk ke sesebuah lokasi termasuk pulang ke kampung dikesan menjadi salah satu punca peningkatan kemalangan jalan raya setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berdasarkan statistik JSPT Bukit Aman, sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak sejak 18 Mac tahun lepas hingga 13 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 5,412 membabitkan kemalangan maut dengan menyaksikan 5,739 kematian telah direkodkan. – UTUSAN ONLINE










