MELAKA: Ibu kepada remaja yang videonya tular selepas rebah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang di sini kecewa dengan penyebaran berkenaan, termasuklah wujud penceritaan fakta yang tidak benar.
Ulfah Amat Daris, 41, berkata, perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu telah mengganggu emosi mereka sekeluarga.
“Ada yang kata anak saya, Muhammad Azim Hassan, 13, sudah meninggal dunia sedangkan dia masih sihat. Kenyataan ini yang buat saya sangat kecewa apabila dilakukan sesuka hati tanpa merujuk kepada kami sekeluarga terlebih dahulu.
“Malam semalam tidur pun tak kena, kerana teringatkan perkara ini. Anak juga beritahu dia malu kerana videonya sudah tular selain keluar maklumat yang tidak tepat,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengakui, berlaku kekeliruan berhubung insiden rebah di parkir PPV Encore berikutan terdapat dua kes sedemikian berlaku semalam.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kes pertama melibatkan video yang tular, iaitu seorang remaja 13 tahun dari sebuah sekolah menengah.
Jelasnya, kes kedua pula adalah seorang kanak-kanak 12 tahun dari sebuah sekolah rendah yang hadir secara datang terus bersama keluarga.
Tambah Ulfah, insiden rebah berkenaan disebabkan anaknya terlalu gementar untuk disuntik vaksin.
Katanya lagi, dia juga sudah memastikan Muhammad Azim tidur awal dan bersarapan terlebih dahulu sebelum ke PPV.
“Doktor pun dah periksa tekanan darah dan paras oksigen. Dia beritahu tidak sedap badan sebelum pulang dan kemudian terus rebah.
“Anak saya tidak menghidap apa-apa penyakit. Abang dan kakak dia sudah divaksin dan semua okey. Sebagai ibu, saya hanya boleh beri semangat untuk dia lebih kuat untuk dos kedua kelak,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE