PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kawal selia perkhidmatan awan bagi menjamin keselamatan data, privasi data perlindungan data dan aliran data pengguna di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kawal selia ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, kawal selia ringan itu akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kawal selia itu diperkenal selaras dengan pelancaran MyDIGITAL memandangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan awan akan meningkat di dalam urusan seharian rakyat Malaysia.
“Keputusan ini diambil setelah MCMC mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor ini termasuk kos operasi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, kawal selia ringan ini akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [‘ASP (C)’].
Annuar berkata, [‘ASP (C)’] yang telah diliberalisasikan pada tahun 2012 membenarkan pegangan saham asing sehingga 100 peratus dengan fi pendaftaran sebanyak RM2,500 setahun sahaja.
Menurutnya, melalui kawal selia ringan ini, MCMC berpeluang untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan untuk menghasilkan instrumen-instrumen kawal selia seperti kod teknikal serta prosedur operasi standard (SOP) mengenai keselamatan dan perlindungan data berteraskan tanda aras antarabangsa.
“Pematuhan terhadap instrumen yang dibangunkan bersama ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan keseragaman perkhidmatan awan untuk mewujudkan persekitaran yang dipercayai dan terjamin,” katanya. -UTUSAN ONLINE