Kalau ada PRN Melaka, kita lawanlah - Anwar - Utusan Malaysia

Kalau ada PRN Melaka, kita lawanlah – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) tidak menolak sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan Melaka.

Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan berdepan dengan pilihan raya jika tiba masanya ke arah itu.

Walau bagaimanapun, ahli Parlimen Port Dickson itu tidak bersetuju dengan cara keputusan pilihan raya negeri diadakan malah mendakwa Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam tidak diberi nasihat yang sewajarnya.

“Kalau ada PRN, kita lawanlah. Sudah tentu kita (pembangkang) tidak bersetuju cara dibuat tidak mengikut proses dan TYT tidak diberikan nasihat dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat PH di ibu pejabat PKR, di sini, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis politik di Melaka baru-baru ini setelah empat ADUN yang dikepalai oleh ADUN Sungai Udang daripada UMNO, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri.

Tiga ADUN lain yang berpaling tadah iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh semalam mengumumkan pembubaran DUN Melaka ke-14 setelah kerajaan negeri pimpinan Sulaiman hilang sokongan majoriti.

Pembubaran DUN membuka jalan kepada pilihan raya negeri namun, ia dilihat bukanlah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu menyorot kes PRN di Sabah yang menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 sejak September tahun lalu.

Cara terakhir bagi mengelakkan pilihan raya walaupun program vaksinasi sudah mencapai lebih 80 peratus adalah dengan mengisytiharkan darurat setempat di Melaka.

Dalam perkembangan lain, Sarawak lebih awal diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan semalam dan akan berkuat kuasa mulai 2 Ogos. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN