Jualan Toyota melonjak 223% - Utusan Malaysia

Jualan Toyota melonjak 223%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan keseluruhan UMW Toyota Motor (UMWT) bagi September untuk jenama Toyota dan Lexus melonjak tinggi sebanyak 223 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Presidennya, Ravindran K. berkata, hal itu dipacu pembukaan bilik pameran yang menerima kunjungan ramai pelanggan setiap hari, sekali gus meningkatkan jumlah tempahan.

Ujarnya, bagi September, jumlah jualan keseluruhan adalah sebanyak 8,033 unit, naik 5,509 unit berbanding Ogos. 

“Ini terdiri daripada 7,931 unit kenderaan Toyota dan 102 kenderaan Lexus. Jumlah ini juga 43 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 5,605 unit kenderaan terjual.

“Secara terkumpul, jualan semasa tahunan bagi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mencecah 43,594 unit pada penghujung September berbanding 25,978 unit jualan dalam tempoh sama 2020. 

“Ini menjadi petunjuk yang jelas terhadap situasi buruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada separuh kedua 2020,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mengalu-alukan semula kedatangan pengunjung ke bilik pameran seluruh negara, UMWT kini sedang menganjurkan promosi “Kunjung & Menang” dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 untuk dimenangi. 

Pelanggan boleh mengambil bahagian dengan hanya berkunjung ke bilik pameran rasmi, ambil gambar dan muat naik ke media sosial berserta kapsyen, seterusnya maklumkan kepada UMWT URL hantaran terbabit untuk dinilai.

Sementara itu, dengan aktiviti perniagaan kini kembali normal, Timbalan Pengerusinya, Akio Takeyama memaklumkan, UMWT sedang mempersiap masa depan yang mengujakan dengan Teknologi Hibrid Elektrik. 

Jelasnya, model-model baharu ini akan dilengkapi sistem janaan lebih cekap dengan pembebasan sisa pembakaran yang rendah serta lebih senyap.

“Kenderaan hibrid elektrik (HEV) Toyota kini dalam tahap paling maju dan merupakan penyelesaian segera dan paling ekonomik bagi pengeluaran pasaran massa dan jualan, terutama dari segi pengurangan pembebasan karbon, penggunaan praktikal dan penerimaan harga oleh pengguna. 

“Kami positif bahawa HEV adalah pilihan paling mudah diakses dan realistik untuk pelanggan di Malaysia dari sudut praktikaliti dan prasarana, serta mempunyai potensi besar di sini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya