JPJ keluarkan saman bernilai RM40,800 terhadap pemandu lori barangan, trak tunda  - Utusan Malaysia

JPJ keluarkan saman bernilai RM40,800 terhadap pemandu lori barangan, trak tunda 

ADENAN MD. ISA meneliti dokumen seorang pemandu lori dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) oleh JPJ Pulau Pinang di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/ MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sebanyak 136 saman bernilai RM40,800 dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) selama empat hari bermula Isnin lalu. 

 

Operasi yang julung kalinya diadakan itu menyasarkan beberapa jenis kenderaan termasuk lori membawa sampah, lori membawa mesin atau jentera berat serta trak tunda. 

 

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, secara keseluruhannya, sebanyak  358 kenderaan berkaitan diperiksa dengan 102 daripadanya telah dikenakan tindakan. 

 

Katanya, selain 136 saman atas pelbagai kesalahan itu, pihaknya turut mengeluarkan 88 notis lain iaitu Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1) dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (Notis PG1). 

 

“Antara kesalahan utama yang kita kesan dalam operasi itu termasuk tidak memiliki lesen memandu biasa (CDL) iaitu sebanyak 35 kes dan 29 kes tidak memiliki lesen memandu kenderaan barangan (GDL). 

 

“Turut dikesan ialah dua buah lori yang cukai jalannya telah tamat tempoh serta tidak memiliki insurans kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

 

Menurut beliau, kesemua pemandu yang ditahan adalah warga tempatan dan mereka yang dalam perjalanan untuk menghantar barangan ke negeri lain tetapi tidak memiliki lesen memandu tidak dibenarkan meneruskan perjalanan sehingga ada pemandu gantian. 

 

“Tindakan mereka (pemandu tanpa lesen) ini sebenarnya amat tidak bertanggungjawab dan ini boleh merugikan serta menyusahkan sekiranya berlaku sesuatu kemalangan dan sebagainya. 

 

“Kita juga memberi amaran kepada para majikan supaya tidak sewenang-wenangnya menggajikan pemandu lori yang tidak ada lesen memandu dan lesen GDL selain memastikan kenderaan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan,” ujarnya. 

 

Selain kesalahan berkaitan lesen tambah beliau, JPJ turut mengesan beberapa kesalahan lain khususnya berkaitan teknikal dalam operasi berkenaan seperti pengubahsuaian kenderaan, penggunaan cermin gelap dan tayar yang tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya melibatkan 184 kes. 

 

“Operasi seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pemandu kenderaan ini mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN