PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mewujudkan satu jawatan kuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatan kuasa ini akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
“Penubuhan jawatan kuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan.
“Ia sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.
“Jawatan kuasa yang dipersetujui Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung keputusan mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Katanya, kerajaan kini memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib. – UTUSAN ONLINE