IPOH: “Saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah, rasa sangat teruja sebab sudah lebih lima bulan hanya belajar di rumah,” ujar S. Sivanathan, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael di sini.
Remaja berusia 19 tahun itu antara 108 pelajar sekolah itu yang akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bermula semalam selepas sekolah ditutup sejak April lalu ekoran peningkatan kes Covid-19.
Menurut Sivanathan, saat untuk kembali ke sekolah amat dinantikannya kerana mahu kembali belajar bersama rakan-rakan bagi menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Dia yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 juga berharap sesi persekolahan tidak akan ditangguh lagi kerana lebih yakin untuk belajar secara bersemuka.
“Walaupun teruja, saya sebenarnya berdebar sebab sudah lama tidak ke sekolah. Sebelum keluar rumah pun, ibu bapa banyak kali pesan untuk jaga SOP (prosedur operasi standard).
“Disebabkan gembira, saya bangun awal hari ini untuk bersiap. Mujur uniform sekolah masih lagi muat,” katanya ketika ditemui di sekolahnya semalam.
Sementara itu, berkongsi kegembiraan sama, Nurul Amira Rizahuddin, 19, berkata, walaupun ada mengikuti kelas secara dalam talian namun ia tidak seronok seperti kelas secara bersemuka.
Katanya, pembelajaran secara bersemuka memberi banyak kelebihan kerana dapat bertanya terus kepada guru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Belajar secara online membuatkan saya rasa kosong sebab belajar berseorangan di dalam bilik. Lagipun tidak seronok sebab tiada kawan-kawan dan guru.
“Saya harap, selepas ini sekolah akan terus dibuka. Bagaimanapun, jika terpaksa ditutup semula disebabkan Covid-19, kita perlu ikut demi keselamatan semua,” katanya.
Bagi Wong Jia Mei, 19, dia lega kerana dapat belajar bersemuka dengan guru dan rakan sekelas tambahan lagi akan menghadapi peperiksaan STPM tidak lama lagi.
“Tidak dinafikan ada sedikit perasaan bimbang, tetapi saya akan cuba patuhi SOP agar kami semua dapat belajar dengan selesa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang melakukan Pemantauan Pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di sekolah tersebut berkata, pembukaan semula sekolah di negeri ini melibatkan 57 sekolah menengah dan 252 sekolah pendidikan khas integrasi.
Katanya, polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melakukan pemantauan yang ketat di semua sekolah terlibat bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.
“Bagi tujuan sama, kita juga akan menggerakkan rondaan berkala menerusi pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). Setakat ini, kita berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE