Georgetown mula sesak dengan pengunjung  - Utusan Malaysia

Georgetown mula sesak dengan pengunjung 

PREMIS-premis makanan popular di pusat bandar Georgetown, Pulau Pinang mula sesak dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya pelancong bermula hari ini. -UTUSAN/ IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Orang ramai mula mengunjungi pusat bandar ini sebagai pusat pelancongan setelah kebenaran merentas negeri berkuat kuasa Isnin lalu. 

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar lokasi tumpuan di sekitar Jalan Penang, Jalan Magazine  dan Jalan Macallum mendapati berlaku penambahan bilangan kenderaan sejak pukul 12 tengah hari ini sehingga menyebabkan berlaku kesesakan. 

Rata-rata mereka dilihat mula berkunjung di lokasi tumpuan makanan popular seperti premis nasi kandar, gerai cendol dan ais kacang, air sarbat dan jeruk di Pasar Awam Chowrasta. 

Seorang pengunjung, Ahmad Zakaria Idris, 45, berkata, dia sanggup memandu sejauh kira-kira 350 kilometer dari Kuala Lumpur semata-mata mahu bercuti di negeri ini bersama isteri dan empat anaknya. 

Menurutnya, dia sudah menduga akan berlaku kesesakan di lokasi tumpuan terutama di pusat bandar ini pada minggu ini sejurus kerajaan memberi kebenaran merentas negeri. 

“Kami memilih Pulau Mutiara sebagai lokasi percutian pertama selepas lebih setahun terperuk di ibu kota berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19. 

“Hari ini, kami sudah berpeluang menikmati keenakan hidangan nasi kandar yang sudah lama kami kempunan selain laksa Penang,” katanya ketika ditemui di sini. 

Sementara itu, seorang lagi pelancong, Hakim Ahmad, 38, memberitahu, dia sanggup menempuh kesesakan bermula dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) semalam  semata-mata mahu bercuti di negeri ini. 

“Ini saat paling ditunggu-tunggu keluarga kami sejak sekian lama. Puas dan tenang dapat melihat suasana damai di tepi Pantai Batu Feringghi. 

“Sekurang-kurangnya kami dapat tenangkan fikiran dan tekanan akibat PKP,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.