BANDUNG: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan fenomena hari tanpa bayang di sini kira-kira pukul 11.36 pagi hari ini.
Lapor Republika, fenomena itu berlaku dalam tempoh cepat iaitu kira-kira dua hingga tiga minit.
Ketua BMKG Bandung, Teguh Rahayu berkata, hari tanpa bayang itu berlaku apabila matahari berada pada kedudukan titik zenith atau tegak.
“Keadaan itu menyebabkan bayangan struktur tegak akan kelihatan ‘menghilang’ kerana pertindihan cahaya.
“Fenomena itu berlaku dua kali setahun dan hari tanpa bayang terjadi di Bandung selepas ekuinoks berlaku (matahari melintasi khatulistiwa) pada September dan sebelum Mac,” katanya.
Jelas Teguh, fenomena tanpa bayang menyebabkan posisi matahari dari bumi berubah sepanjang tahun iaitu antara 23.4 darjah latitud utara ke 23.4 darjah latitud selatan.
Tegasnya, fenomena tersebut tidak memberi kesan terhadap sebarang situasi termasuk cuaca.
“Fenomena ini tidak dapat dilihat sekiranya hujan atau mendung,” ujarnya.