BEIRUT: Beberapa negara di seluruh dunia kini berdepan dengan krisis tenaga global yang disifatkan semakin memburuk.
Sebahagian daripada wilayah di China sudah mula mencatu penggunaan elektrik, banyak negara Eropah terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan bekalan bahan bakar dan terbaharu, seluruh Lubnan terputus bekalan elektrik.
India turut terkesan dengan krisis yang berlaku apabila bekalan arang batu di negara itu didakwa semakin susut dan di Amerika Syarikat (AS), harga petrol meningkat sehingga AS$3.25 (RM13.60) berbanding AS$1.27 (RM5.30) pada April lalu.
Ketika ekonomi global dalam fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19, krisis tenaga yang berlaku ‘secara tiba-tiba’ ini memberi tekanan terhadap rangkaian bekalan dan mencetuskan ketegangan geopolitik.
Para pemimpin dunia ketika ini bersiap sedia untuk menyertai Persidangan Perubahan Iklim (COP26) sebagai usaha mengurangkan perubahan iklim, namun isu mengenai revolusi tenaga hijau global mula mendapat perhatian.
PELBAGAI FAKTOR
Krisis itu didakwa berlaku atas pelbagai faktor, terutamanya ketika fasa pemulihan ekonomi apabila banyak negara mengeluarkan perbelanjaan minimum untuk mendapatkan bekalan bahan bakar sejak 18 bulan terakhir.
Selain itu, musim sejuk luar biasa di Eropah juga mengurangkan rizab tenaganya, termasuk beberapa siri taufan yang melanda sehingga menyaksikan telaga minyak di negara Teluk ditutup.
Situasi yang berlaku turut memburukkan hubungan antara China dan Australia, selain ‘kekurangan kapasiti angin’ di Laut turut menyumbang kepada krisis tenaga yang berlaku ketika inni.
Pengarang The New Map: Energy, Climate and the Clash of Nations kepada Washington Post, Daniel Yergin, krisis yang berlaku ketika ini saling berkaitan dengan pelbagai sumber lain.
Katanya, kerajaan pelbagai negara berusaha mendapatkan subsidi untuk mengelakkan reaksi politik yang luar biasa.
LUBNAN
Bekalan elektrik di negara ini pulih semula selepas 24 jam terputus selepas dua stesen jana kuasa utama berhenti operasi berikutan kekurangan bekalan bahan bakar.
Kementerian Tenaga Lubnan memaklumkan, bank pusat meluluskan kredit berjumlah AS$100 juta (RM417.7 juta) untuk membeli bahan bakar dan memastikan dua stesen jana kuasa berkenaan terus beroperasi.
Kerajaan Lubnan sebelum ini memaklumkan bekalan elektrik mungkin terputus selama beberapa hari.
Sejak 18 bulan lalu, Lubnan berdepan dengan krisis ekonomi dan kekurangan bekalan bahan bakar yang kritikal.
Krisis bahan bakar di negara ini semakin teruk sejak insiden letupan besar di Beirut pada 2020.
INDIA
Data kerajaan India menunjukkan separuh daripada 135 loji kuasa yang dijana arang batu mempunyai jumlah bekalan bahan bakar kurang daripada tiga hari.
Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal menggesa Perdana Menteri, narendra Modi supaya mendapatkan lebih banyak bekalan arang batu dan gas bagi mengelakkan bandar itu terputus bekalan elektrik.
CHINA
Sementara itu di China, beberapa bandar utama terpaksa mencatu bekalan elektrik, selain banyak kilang terpaksa ditutup ekoran masalah tersebut.
Krisis itu dikatakan berlaku selepas harga arang batu meningkat mendadak selepas ekonomi China dibuka semula akibat pandemik Covid-19.
Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di wilayah Guangdong, Heilongjiang, Jilin dan Liaoning.
Banyak peniaga terpaksa menggunakan lilin untuk menerangi premis perniagaan mereka, selain talian komunikasi turut terjejas.










