Dijangka 30,000 banjiri Port Dickson hujung minggu ini - Utusan Malaysia

Dijangka 30,000 banjiri Port Dickson hujung minggu ini

Hotel dan pantai di Port Dickson dijangka menerima peningkatan kehadiran pengunjung pada hujung minggu ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pantai peranginan Port Dickson dijangka menerima kehadiran kira-kira 30,000 orang pengunjung pada hujung minggu ini selepas kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dengan kehadiran pelancong domestik ke Port Dickson yang meningkat, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dititikberatkan dan pihak polis akan melakukan pemantauan 24 jam terutama di kawasan pantai.

“Kami akan tingkatkan pemantauan di kawasan pantai yang jadi tumpuan ramai  iaitu di Pantai Batu 4, Pantai Batu 1 dan Dataran Telok Kemang. 

“Apabila rentas daerah dibenarkan sebelum ini, hanya penduduk di Negeri Sembilan saja yang masuk bercuti di sini (Port Dickson), tetapi, kali ini, kami jangkakan pengunjung dari luar Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Aidi Sham, hanya pengunjung yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan berada di pantai dan pemeriksaan secara rawak akan dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.

“Seramai 48 orang pegawai dan anggota polis termasuk Unit Polis Pelancong akan membuat pemantauan tidak kira siang atau malam.

“Selain itu, 21 pasukan pemantauan SOP dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan agensi lain akan turun padang membuat pemantauan secara rawak di pantai dan premis makan sepanjang pantai.

“Saya ingin menasihatkan para pengunjung supaya sentiasa memakai pelitup muka, melakukan penjarakan sosial serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kesesakan.

“Elakkan meletakkan kenderaan di bahu jalan dan kawasan yang tidak sepatutnya sehingga menghalang lalu lintas,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN