Derita dua beradik didera pengasuh akhirnya terbongkar - Utusan Malaysia

Derita dua beradik didera pengasuh akhirnya terbongkar

KEADAAN salah seorang anak M. Vikneswari yang disyaki didera pengasuh di Taman Selesa Jaya, Skudai di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penderitaan dua beradik yang disyaki didera oleh pengasuh sejak April lalu akhirnya terbongkar setelah dihantar pulang ke pangkuan ibu mereka baru-baru ini.

Dua beradik berusia enam dan 11 tahun itu didapati mengalami kecederaan parah selepas dipercayai disimbah air panas dan dicucuh api rokok.

Ibu mereka, M. Vikneswari, 30, berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas pengasuh menghantar pulang mangsa menggunakan kenderaan e-hailing pada Khamis lalu.

Menurut ibu tunggal itu, kedua-dua anak lelakinya dihantar ke rumah pengasuh di Taman Selesa Jaya, Skudai sejak April lalu dengan bayaran sebanyak RM800 sebulan.

“Suami saya meninggal dunia, jadi saya seorang diri jaga dia tetapi kerana faktor kerja sebagai pembantu kedai, saya hantar anak ke pengasuh. 

“Saya kenal pengasuh melalui kenalan dan kerana terlalu sibuk mencari rezeki, saya hanya sempat berjumpa tiga kali sahaja sejak hantar mereka ke pengasuh.

“Malah saya juga dilarang berjumpa anak-anak sebab mereka beri alasan macam-macam antaranya kena kuarantin kerana kontak rapat Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Vikneswari berkata, selepas berbincang dengan majikannya mengenai masalah untuk berjumpa anak, dia dinasihatkan membuat laporan polis.

Namun, setelah pengasuh mengetahui tindakan Vikneswari, mereka menghantar kanak-kanak terbabit menaiki kenderaan e-hailing pulang ke rumah.

“Anak saya cakap mereka didera dengan cara dipukul dengan rotan, getah paip, badan diikat, disimbah air panas serta dicucuh api rokok.

“Manusia jenis apa mereka ini, saya beri duit upah untuk jaga mereka, tapi mereka buat macam ini dekat anak yang tidak berdosa,” katanya.

Susulan kejadian itu, Vikneswari membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari di sini pada hari sama anaknya dihantar pulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan itu dan memaklumkan tiga individu berusia 22 hingga 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya