Dalgona, gula-gula pasca perang Korea - Utusan Malaysia

Dalgona, gula-gula pasca perang Korea

PELBAGAI bentuk menarik akan ditekap atas gula-gula dalgona panas mengikut pilihan pelanggan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Gula-gula yang dinamakan dalgona kini menjadi fenomena di seluruh dunia selepas siri drama Squid Game ditayangkan di Netflix pada bulan lalu.

Menerusi drama tersebut, para peserta yang menyertai permainan maut perlu memotong bentuk yang ditekap pada gula-gula berkenaan tanpa memecahkannya dan jika gagal, mereka akan ditembak.

Sejak tayangan drama tersebut, sejumlah media sosial dibanjiri dengan video serta gambar yang dimuat naik oleh pengguna yang menunjukkan mereka menghasilkan gula-gula dalgona dan cuba meniru cabaran seperti dalam Squid Game.

Cara untuk menghasilkannya juga mudah iaitu hanya menggunakan dua bahan, gula pasir dan serbuk penaik.

 

SEJARAH DALGONA

Menurut sejumlah pakar sejarah Korea Selatan, gula-gula tersebut muncul buat pertama kali pada tahun 1960-an ketika negara ini berdepan dengan kemiskinan akibat peperangan.

Ketika itu, pencuci mulut seperti ais krim dan coklat masih belum meluas, selain harganya terlalu mahal.

Sebagai alternatif kepada golongan kanak-kanak ketika era tersebut, ibu bapa mereka akan menghasilkan gula-gula dalgona.

 

LUBUK REZEKI

Dipercayai menjadi antara gula-gula terawal di Korea Selatan, dalgona mula dijual secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara ini.

Kebanyakan peniaga akan membuka gerai di kawasan berhampiran sekolah memandangkan golongan sasar yang sering makan gula-gula itu adalah kanak-kanak.

Lim Chang-joo dan isterinya, Jung Jung-soon merupakan pengusaha dalgona dan tuah menyebelahi mereka apabila dipilih oleh pengarah Squid Game untuk menghasilkan gula-gula tersebut bagi proses penggambaran.

Chang-joo dan isterinya menghasilkan kira-kira 300 dan 400 keping gula-gula dalgona sepanjang tiga hari penggambaran.

Selepas drama itu meraih kejayaan luar biasa, gerai Chang-joo terus menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli dalgona.

LIM Chang-joo menyiapkan gula-gula dalgona di gerainya di Seoul, Korea Selatan. – AFP

Dijual pada harga 2,000 won (RM6.90) sekeping, orang ramai mula beratur sebaik sahaja gerai mereka dibuka, malah ada yang sanggup beratur selama enam jam untuk membeli gula-gula dalgona Chang-joo.

“Saya tidak pernah terfikir gula-gula tradisi ini akan menjadi terkenal dan sudah tentu saya berasa amat gembira.

Squid Game secara tidak langsung membuka pintu rezeki yang lebih luas untuk kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Chang-joo, dia dan isterinya membuka gerai gula-gula itu sejak 20 tahun lalu ketika Asia dilanda krisis kewangan.

 

MANIFESTASI BAHARU

Selepas kejayaan Squid Game, gula-gula dalgona secara tidak langsung menjadi manifestasi baharu, sama seperti sensasi kumpulan K-pop, BTS dan filem-filem pecah panggung Korea Selatan.

PENYEDIAAN gula-gula dalgona amat mudah dengan hanya menggunakan dua bahan iaitu gula pasir dan serbuk penaik. – AFP

Pensyarah teori budaya di Universiti Seni Kebangsaan Korea, Michael Hurt berkata, Korea Selatan sering menjadi ‘penyambung’ antara dunia moden dan pra moden, gaya Barat dan Timur.

“Gula-gula dalgona merupakan antara penyambung budaya terbaharu di negara ini,” ujarnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN