ALOR SETAR: Penduduk di negeri ini yang terlibat dengan gangguan bekalan air mendakwa mereka telah bosan dengan alasan yang sama diberikan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) setiap kali membuat aduan mengenai masalah tersebut.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, walaupun pelbagai alasan yang diberikan, gangguan bekalan air tetap berlaku dalam tempoh yang lama di beberapa tempat di negeri ini.
Menurutnya, antara kawasan yang terkesan dengan masalah gangguan bekalan air
ialah di Baling, Pendang, Merbok dan Kuala Kedah.
Malah, katanya, pihaknya yang sering menghubungi SADA untuk mengetahui perkembangan isu ini juga hanya diberikan pelbagai alasan mengenai punca masalah tersebut berlaku.
“Jika dihubungi, pihak SADA memaklumkan sistem perpaipan rosak dan dalam proses membaiki atau tiada peruntukan kewangan untuk baik pulih.
“Sampai bila alasan-alasan ini akan terus diguna pakai untuk mengelak tanpa mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain itu, tambahnya, pihak Cake juga menerima banyak laporan mengenai masalah gangguan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.
“Gangguan bekalan air tersebut dilaporkan penduduk berlarutan kira-kira sebulan lalu tanpa tindakan,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung di Merbok kecewa apabila mendakwa mereka mengalami gangguan bekalan air bersih sejak lima tahun lalu.
Malah beberapa buah kampung terlibat langsung tidak mendapat bekalan air bersih sejak setahun lalu dan terpaksa menggunakan air telaga tiub untuk kegunaan seharian walaupun berbau dan masam. -UTUSAN ONLINE










