MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan yang menetapkan larangan berhimpun sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pada dasar, pihaknya menghormati keputusan yang dikeluarkan oleh kementerian dan mengakui ia untuk kebaikan semua pihak.
Menurut beliau, begitupun, pihaknya mempunyai beberapa pandangan berkaitan SOP yang akan dikemukakan melalui menteri-menteri daripada parti itu yang berada dalam Kabinet.
“Sewaktu saya melawat beberapa jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, antara komen-komen yang ditimbulkan ialah kalau kita pergi ke kedai makan dan kebetulan calon yang bertanding ada di situ serta orang ramai berjumpa dengan calon itu. Adakah itu melanggar SOP?
“Kalau sekiranya calon pergi ke pasar malam dan bertemu dengan calon terbabit adakah itu juga melanggar SOP? Oleh itu, soalan-soalan yang timbul itu apa sebenarnya yang mematuhi SOP dan apa yang tidak.
“Inilah antara cadangan-cadangan yang akan kita kemukakan dan saya harap di pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan akan dapat memberi penjelasan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan, melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera bermula 25 Oktober hingga 27 November.
Ketetapan diumumkan itu dibuat meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.
Khairy dilaporkan berkata, SOP yang bakal diumumkan SPR hanya terpakai semasa kempen bermula, membuatkan kementeriannya khuatir akan ada banyak majlis politik sebelum itu tidak mematuhi SOP.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, larangan tersebut merupakan cabaran getir buat Bersatu, kerana inilah kali pertama parti politik bertanding mengikut amalan norma baharu.
“Bersatu akan mula menggunakan pelbagai platform digital, secara dalam talian, media sosial dan sebagainya untuk berkempen selain memperkenal calon-calon yang akan bertanding nanti.
“Bersatu bertanggungjawab memastikan kempen calon-calon berjalan dengan baik dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










