TASEK GELUGOR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kini sedang bekerjasama dengan beberapa buah syarikat dan agensi berkaitan di seluruh negara untuk membangunkan platform perniagaan digitalnya sendiri.
Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, platform tersebut diharap dapat memudahkan kerja-kerja pemasaran produk yang dihasilkan oleh usahawan mereka atau Sahabat AIM.
“Platform (perniagaan) digital itu sebenarnya memang sudah ada dan sekarang AIM sedang berusaha mendigitalkan produk-produk perniagaan tersebut secara berperingkat iaitu melalui penyaluran maklumat berkaitan, kursus, latihan dan sebagainya.
“Kita jangka dalam tempoh enam bulan dari sekarang, platform tersebut dapat diguna pakai sepenuhnya khususnya untuk semua urusan jual beli produk yang dihasilkan oleh peserta Sahabat AIM,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Bakul Kasih AIM di Jalan Pokok Tampang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Pada program berkenaan, sebanyak 1,400 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas diagihkan kepada Sahabat AIM cawangan Butterworth yang turut merangkumi kawasan Parlimen Tasek Gelugor di sini.
Selain Pulau Pinang, program Bakul Kasih itu turut dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Sabah, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Kelantan dan Pahang buat masa ini.
Difahamkan, sehingga kini, kira-kira 10,000 daripada keseluruhan 15,000 bakul makanan yang diperuntukkan telah diagihkan kepada Sahabat AIM di seluruh negara dalam usaha meringankan beban mereka yang berdepan pandemik Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Shabudin memberitahu, pihaknya akan membuka peluang kepada generasi muda khususnya yang berusia antara 18 hingga 40 tahun untuk membuat pinjaman menerusi AIM Muda yang akan diberikan peruntukan berasingan selepas ini.
“Di bawah AIM ini, memang sudah ada Sahabat yang terdiri daripada kalangan generasi muda, namun, jumlah mereka boleh dibilang dengan jari setakat ini.
“Maka, oleh sebab itu, kami mahu wujudkan AIM Muda ini untuk memberikan peluang kepada mereka bagi mendapatkan pinjaman khusus dan mereka juga akan diberi bimbingan sehingga berjaya,” ujar beliau.
Untuk rekod, jumlah Sahabat AIM yang aktif di seluruh negara ketika ini berjumlah 378,507 orang. -UTUSAN ONLINE