7,295 pelajar tingkatan enam dan keperluan khas mula bersekolah di Pahang  - Utusan Malaysia

7,295 pelajar tingkatan enam dan keperluan khas mula bersekolah di Pahang 

SEORANG pelajar melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 7,295 pelajar tingkatan enam dan murid keperluan khas memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri ini hari ini.  

 

Seramai 2,488 orang daripada jumlah itu melibatkan pelajar tingkatan enam semester dua manakala 4,807 adalah murid bekeperluan khas.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pembelajaran bersemuka hari ini melibatkan seramai 2,352 pelajar tingkatan enam kelas kemanusiaan dan 136 daripada kelas sains manakala bagi murid keperluan khas melibatkan 2,809 murid sekolah rendah dan 1,998 pelajar sekolah menengah.

 

“Saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan saya menasihatkan pelajar jangan terlalu ghairah dan sentiasa berhati-hati, begitu juga ibu bapa bersama-sama memelihara dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) anak-anak.

 

“Guru-guru juga mestilah sentiasa meneliti SOP yang ditetapkan dapat dijaga dan dilaksana dengan baik semoga semuanya selamat,” katanya di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, bagi mencegah penularan wabak Covid-19, semua kumpulan sasar berkenaan perlu dipastikan mengambil vaksin dan menjaga segala SOP yang ditetapkan.

 

“Waktu hadir dan kembali dari sekolah adalah saat kritikal yang mana semua yang terlibat wajib berhati-hati dan semoga semuanya dipelihara Allah SWT,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN