KUALA NERUS: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran dijangka terus diperkukuh menerusi peluasan kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor pada masa depan.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, masih terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan kedua-dua negara bukan sahaja dalam kerjasama dua hala malah di peringkat antarabangsa.
Katanya, kerjasama antara Iran dan Malaysia terjalin sejak lebih satu abad lalu yang bermula dengan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Saya optimis kerjasama ini terus berkembang pada masa hadapan. Insya-Allah, kita akan melihat pertumbuhan hubungan antara rakyat Iran dan Malaysia,” katanya selepas menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini.
Menurutnya, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin sejak Iran mengiktiraf kemerdekaan Malaysia dan menubuhkan perwakilan diplomatik, sekali gus menjadi titik permulaan kepada hubungan rasmi dua hala.
“Sejak itu, kita berusaha menjadi rakan baik antara satu sama lain. Kita mempunyai banyak persamaan serta pengalaman bersama. Sebagai dua negara Islam, kita boleh bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.
Kata beliau, keanggotaan Malaysia dan Iran dalam platform antarabangsa seperti Developing-8 (D-8) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut membuka lebih banyak ruang untuk memperkukuh kerjasama di peringkat pelbagai hala.
Sementara itu, beliau berkata, perpaduan dalam kalangan negara Islam sangat penting dalam menghadapi isu semasa, khususnya melibatkan konflik di Gaza.
Katanya, kehilangan nyawa orang awam yang tidak berdosa di wilayah berkenaan menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif serta pendirian yang lebih tegas dalam kalangan negara Islam.
“Seperti yang anda sedia maklum, Republik Islam Iran sedang berada di bawah serangan ketenteraan oleh (negara haram) Israel dan Amerika. Sememangnya, ini waktu terbaik untuk umat Islam di seluruh dunia bersatu menentang Israel.
“Insya-Allah, dengan kesatuan ummah, kita mampu memberikan tindak balas yang lebih kuat agar serangan terhadap negara Islam dapat dihentikan,” katanya. – UTUSAN










