KOTA TINGGI: Dianggarkan lebih 16,000 nelayan pantai di seluruh negara tidak memiliki lesen kelas Zon A untuk menangkap hasil laut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pemberian lesen itu dihentikan seketika oleh Jabatan Perikanan pada ketika ini.
Katanya, ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan proses pemutihan untuk memastikan nelayan yang memegang lesen kelas Zon A itu benar-benar aktif.
“Pengeluaran lesen adalah berdasarkan kajian yang dilakukan Jabatan Pertanian antaranya bergantung kepada densiti ikan yang berada di kawasan Zon A iaitu lima batu nautika dari pantai.
“Namun begitu, didapati densiti ikan sudah banyak menurun. Sebab itu, penangkapan tidak boleh dibuat dan sekiranya ia dilakukan ia boleh menyebabkan habitat musnah,” katanya ketika diminta mengulas jumlah nelayan yang gagal memohon lesen berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Jeti Kampung Sedili Kechil dan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di kampung berkenaan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Katanya, Jabatan Perikanan akan melakukan pemutihan sekiranya pemegang lesen tidak memperbaharui lesen mereka dalam tempoh tiga tahun.
“Setelah lesen ditarik atau ditamatkan, barulah Jabatan Perikanan akan mempertimbangkan pemberian lesen kepada pemohon baharu,” katanya.
Terdahulu, Ahmad mendengar taklimat bersama persatuan nelayan tempatan sebelum bergerak ke program pelepasan benih ikan siakap.
Menurut Ahmad, antara masalah lain yang dihadapi nelayan tempatan di kawasan tersebut ialah kekurangan kemudahan sokongan selain menerima ancaman nelayan asing.
Untuk rekod, terdapat seramai 120,000 nelayan yang didaftarkan dengan LKIM, selain yang mempunyai lesen di bawah Jabatan Perikanan pula kira-kira 40,000 nelayan. -UTUSAN ONLINE