PUTRAJAYA: Kerajaan meletakkan sasaran perolehan 100 peratus bagi kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara intipati Kenyataan Negara yang akan dibentangkan semasa Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November ini.
Menurut Perdana Menteri, antara intipati lain dalam kenyataan itu sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) ialah meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran.
Selain itu, kata beliau, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus (berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun 2030 kelak yang mana pengurangan intensiti tersebut dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini.
“Aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050. Pencapaian sasaran ini adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.
“Pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad. Skim ini melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik.
“Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MyCAC, hari ini.
Ismail Sabri berkata, intipati Kenyataan Negara pada persidangan antarabangsa itu turut merangkumi komitmen kerajaan mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air bagi memastikan pengurusan air secara lestari.
Selain itu, kata beliau, usaha menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat.
Dalam hal ini juga, Perdana Menteri berkata, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara-negara di rantau ini.
“Memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor, dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda tersebut.
“Justeru, kerajaan wajar memperkukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara, antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan di bawah KASA bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat perubahan iklim negara dan data perubahan iklim yang diuruskan pusat tersebut, supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, negara juga perlu mengambil kira pendekatan kesihatan planet bagi menangani krisis iklim dan melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.
Katanya, isu perubahan iklim perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan peningkatan pelepasan GHG ekoran aktiviti manusia.
“Ia akan memberi kesan kepada sistem iklim global yang seterusnya menyebabkan kejadian cuaca lebih ekstrem. Selain itu, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi negara sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.
“Oleh itu, adalah penting untuk negara terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim ini. Ingin saya tekankan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara di bawah pentadbiran kerajaan pada masa sekarang yang turut terkandung di dalam Tema Ketiga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) – Melonjakkan Kemampanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










