SABAK BERNAM: Seorang wanita hamil tujuh bulan tidak sengaja melahirkan bayi ketika hendak membuang air besar di sebuah kedai ikan bakar di Parit 7, Sekinchan di sini petang tadi.
Bagaimanapun, bayi lelaki tersebut disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.03 petang dan anggotanya tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.
“Sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan tiba di lokasi kejadian dan mendapati wanita berusia 37 tahun itu melahirkan anak ketika hendak membuang air besar.
“Bayi yang dilahirkan telah terjatuh ke dalam mangkuk tandas dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa 10 minit setelah memecahkan mangkuk tandas terbabit,” katanya hari ini.
Menurutnya, bayi tersebut disahkan meninggal dunia oleh anggota KKM.
“Ibu bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan stabil dan telah dihantar oleh ambulans KKM ke Hospital Tanjong Karang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










