Wang lesap RM173,050 ditipu Datuk Riduan - Utusan Malaysia

Wang lesap RM173,050 ditipu Datuk Riduan

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara terkejut dan panik menerima panggilan kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa, seorang wanita cemas sehingga kerugian RM173,050 akibat terpedaya dengan helah Macau Scam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 51 tahun dari Bentong, dekat sini itu menerima panggilan tersebut pada 3 Ogos lalu sekitar pukul 2.30 petang ketika sedang bekerja.

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF

Menurutnya, kejadian bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai dari LHDN, Cyberjaya yang memaklumkan mangsa cukai sebanyak RM30,400.

“Kemudiannya, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada Tuan Adam dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan telah menyambungkan panggilan kepada seorang bernama Datuk Riduan.

“Datuk Riduan memberikan penjelasan nama mangsa digunakan untuk pendaftaran syarikat di Melaka. Suspek juga memberitahu nama mangsa turut terlibat dalam pengubahan wang haram di Melaka,” katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa begitu terkejut dan panik lalu memaklumkan kepada suspek maklumat akaun peribadinya yang mempunyai jumlah wang terkumpul dianggarkan melebihi RM200,000.

“Datuk Riduan meminta mangsa memindahkan semua wang dalam akaun yang akan diberikan oleh pihaknya membuat siasatan sumber wang tersebut. 

“Mangsa telah membuat transaksi sebanyak 30 kali ke dalam beberapa akaun yang terlibat seperti bank Public Bank, Hong Leong, Maybank, Ambank, CIMB berjumlah RM173,050.

“Selepas itu, suspek telah menghubungi mangsa mengarahkannya untuk mengumpul semua resit di dalam satu fail dan seorang anggota polis akan mengambil bukti tersebut,” katanya.

Menurutnya, mangsa curiga apabila suspek mengarahkannya memasukkan fail tersebut ke dalam tong sampah di sebuah stesen minyak Petronas yang akan dinyatakan.

“Mangsa tidak mengikut arahan tersebut kerana merasa sangsi dan telah memberitahu adiknya tentang perkara tersebut. Ekoran itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, semalam.

“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN