PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan beliau mempunyai kepercayaan Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri sepanjang masa atau sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung dan bukannya hanya untuk satu tempoh tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan ‘ujian keabsahan’ kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya adalah bertujuan menguji sejauh mana kepercayaan anggota Dewan Rakyat terhadap kepimpinan kerajaan dibentuk pada hari ini.
Menurut beliau, sokongan ahli Dewan Rakyat boleh berubah mengikut keadaan tertentu dan oleh itu Ismail Sabri perlu membuktikan bahawa beliau benar-benar memperoleh kepercayaan sepanjang masa.
“Meskipun pelantikan Ismail Sabri telah melalui proses sah seperti dinyatakan dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun sokongan boleh berubah dalam keadaan tertentu.
“Mungkin ketika dilantik, Ismail Sabri mempunyai sokongan 114 ahli Dewan Rakyat tetapi jumlah itu mungkin boleh berkurang atau sebaliknya selepas itu.
“Atas sebab itu, mungkin antara sebab Yang di-Pertuan Agong berpandangan undi percaya perlu dilakukan untuk menguji sejauh mana kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepada Ismail Sabri sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini memperoleh sokongan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat desakan sesetengah pihak agar undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan secepat di Parlimen sebagai suatu yang tidak wajar.
Ini kerana, menurut bekas Perdana Menteri dua kali itu, tindakan tersebut akan memberi kesan kepada imej politik negara di mata dunia jika berlaku keputusan luar jangka terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Selain itu, pada hari usul percaya dilakukan, blok kerajaan perlu memastikan sekurang-kurangnya 111 ahli Parlimen hadir di Dewan Rakyat kerana kegagalan berbuat demikian memberi kesan langsung kepada kedudukan Ismail Sabri seperti diperuntukkan dalam Perkara 43 (4) iaitu Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, walaupun tiada keperluan berhubung usul percaya kepada Ismail Sabri kerana pelantikannya adalah sah mengikut Perlembagaan namun langkah itu amat penting demi kestabilan negara.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Bera itu bukannya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas keputusan Pilihan Raya Umum namun beliau terpilih di tengah-tengah pembentukan kerajaan baharu.
“Usul percaya ini bukan satu perkara baharu apabila Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein pernah berbuat demikian selepas Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia malah perkara sama juga berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pengunduran Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Seorang lagi Pakar Perlembagaan, Datuk Salleh Buang berpandangan, Ismail Sabri boleh menggunakan kelulusan rang-rang undang seperti Belanjawan 2022 bagi membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Dewan Rakyat tanpa melalui usul percaya.
Katanya, secara tersirat apabila Belanjawan lulus, maknanya Ismail Sabri secara automatik mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat di Parlimen.
“Tetapi sering menjadi persoalan hari ini sama ada wajib usul percaya ketika sidang Parlimen nanti? Jawapannya tidak wajib kerana pelantikan Ismail Sabri adalah sah dan teratur kerana tindakan Yang di-Pertuan Agong bertepatan dengan kuasa budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 40 (2)(a).
“Tetapi kalau Perdana Menteri yakin beliau memang ada sokongan kukuh, elok juga diteruskan usul undi percaya supaya rakyat dan seluruh dunia nampak sokongan itu ada,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE










